Monday, March 13, 2006

Setelah lebih enam bulan berusaha, berpenat lelah, berangan, berseronok, berkerah otak dan berputus asa, AKHIRNYA muncul juga isu pertama THE GENUINE MIND ZINE. Bertemakan “Selamat Datang ke Realiti” yang terinspirasi daripada puisi penyair Fudzail dengan tajuk yang sama, The Genuine Mind Zine (TGMZ) akhirnya berjaya disiapkan dan sudah bersedia untuk proses distribusinya. Sejujurnya nyata saya pernah berputus asa dengan zine ini. Banyak kali semangat yang membara seakan terpadam dek kurangnya keyakinan diri. Semangat dan keyakinan bukan semata-mata faktor utama tertangguhnya zine yang telah lama dirancang ini; kesibukan dan sifat malas yang kerap saja menjajahi setiap rinci diri secara perlahan menutup kesungguhan yang pernah dibina. Namun yang pasti, saya nyata tak mahu berputus asa. Apa yang telah dimulakan harus diteruskan. Sokongan rakan-rakan yang tak berbelah bagi serta kontribusi para kolumnis yang tak bisa saya tolak ketepi membuatkan saya perlu meneruskan segala yang telah dimulakan dan dirancang.

TGMZ dengan isu pertamanya ini menampilkan tujuh orang kolumnis menulis di enam kolum berlainan. Setiap daripada mereka cuba menampilkan bentuk penulisan yang berbeza namun memenuhi syarat The Genuine Mind Zine yang menekankan hasil penulisan anak muda yang nyata genuine (pure/tulen/original). Biarpun ada isu yang diketengahkan boleh dikategorikan antara isu-isu berbangkit atau biasa dibicarakan, namun segalanya ditulis dengan cara yang tersendiri dan akhirnya terhasil menjadi karya-karya yang bisa dibanggakan.

Antara kolumnis yang menghiasi ruangan-rungan di zine ini termasuklah Suraya Suhaimi yang menulis menerusi kolumnya “Moi, Surcaztix?” Suraya yang menulis dengan penuh retorik menerusi kolum tersebut berbicara tentang lirik lagu dan meluahkan pandangannya tentang perkara itu dari banyak perspektif. Saudara Nik Faris pula (kolum ‘Ragu-Ragu’) mengetengahkan buah pendapatnya tentang apa yang dimaksudkan dengan persepsi individu yang berbeza-beza. Seorang lagi kolumnis, saudara Efry Arwis, pula tidak ketinggalan menyumbang sebuah puisinya yang sangat menarik dan nyata sarat makna. Puisi bertajuk ‘Indah Emosi Penyeri Hati’ yang juga antara puisi Efry yang amat saya gemari telah diketengahkan menerusi kolum Erupsi OBD3.

Muzik dan remaja nyata tidak boleh dipisahkan. TGMZ tidak ketinggalan menyelitkan kolum ‘Earwax’ yang ditulis oleh dua orang kolumnis iaitu Hafeez dan Farhan. Farhan telah membuat ulasan tentang empat buah lagu yang harus diperdengarkan manakala Hafeez menulis tentang The Chumbawamba Factor yang terinspirasi daripada kisah kejayaan kumpulan muzik terkenal, Chumbawamba. Pengaruh besar dunia blogging dalam kehidupan ramai anak muda di Malaysia kini membawa kepada satu kolum berdasarkan petikan daripada sebuah blog yang kami (the Editorial) minati. Kolum ‘Menentang Arus’ oleh saudara Jr diambil petikannya daripada salah satu entri blog unspokenwords milik beliau. Saya juga tidak ketinggalan menyumbang artikel berkenaan Palestin dan kaitannya dengan diri saya menerusi kolum ‘Bicara Telus Penuh Edgy’.

Sebagai sebuah entiti independent yang masih baru dan mentah, TGMZ nyata tegas memerlukan sokongan anda semua. InsyaAllah, zine ini akan memulakan proses distribusinya bermula 6 Mac 2006. Dan sebagai sebuah zine yang terhasil secara independent, TGMZ amat memerlukan sokongan anda untuk turut sama menyokong produksi ini dengan membeli isu pertama ini. Pembelian anda bukan saja membantu dalam proses penjualan zine ini namun apa yang penting adalah untuk menyebarkan idea dan juga sebagai bukti wujudnya entiti positif yang bisa memperlihatkan ketegasan anak-anak muda kita dalam menyuarakan rasa dan mencurah bakat mereka.

Dan saya nyata tak mahu zine ini sekadar bermula dan berakhir sini saja. Apa yang saya mahu adalah untuk zine ini berterusan; ada kesinambungannya. Saya dan rakan-rakan sedang dalam proses menyiapkan isu kedua yang InsyaAllah akan disiapkan untuk distribusi bulan hadapan (April 2006). Oleh itu, saya amat mengalu-alukan karya-karya dan kontribusi rakan-rakan seperjuangan di luar sana. Apa jua bentuk karya (artikel, puisi, artwork, fotografi etc.) yang punya idea dan mesej yang mendalam dan boleh dijadikan rujukan dan bukti kebebasan bersuara amatlah dialu-alukan. Saya juga amat mengalukan bakat-bakat luar biasa yang jika bukan mahu menyumbang dari aspek penulisan untuk turut menyumbang kebolehan dan bakat lain seperti rekaan grafik dan fotografi misalnya. Kami juga mengalu-alukan sumbangan kewangan dari pihak anda bagi meneruskan perjalanan entity ini memandangkan segala yang dihasilkan ini diusahakan saya sendiri dan rakan-rakan. Saya memohon jasa baik anda untuk turut sama mempromosikan zine ini kepada rakan-rakan anda di mana-mana saja. Apa jua bentuk pertolongan yang mampu anda sampaikan, segalanya amatlah saya hargai.

Sebarang pendapat, kontribusi, sumbangan ikhlas, luahan rasa serta pertanyaan boleh diajukan kepada saya, Nazirah Ashari ke e-mail
genuine.mind@hotmail.com. Tempahan melalui pos boleh dilakukan dengan menghantar jumlah yang sepatutnya (diselit dan disorokkan dengan baik) kepada No 7, Jalan BK 2/2, Bandar Kinrara, 58200, Kuala Lumpur. Tempahan juga boleh dibuat menerusi e-mail yang sama. Segala bentuk komunikasi untuk tujuan pembelian bisa dilakukan menerusi e-mail.

The Genuine Mind Zine akan dijual pada harga ringgit Malaysia dua (rm2).
p/s: Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada semua yang menyumbang kepada penghasilan zine ini: Nik Faris, Suessy, Efry Arwis, Farhan, Hafeez, Ervina dan terutama sekali untuk saudara Jr atas segala nasihat, bantuan, pertolongan, tunjuk ajar, kata-kata semangat dan segala-galanya. Nazirah amat hargainya dan Nazirah sayang kamu semua. =) *mmuaahh*